Register with EXMarkets

Register with EXMarkets
THE EXCELLENT BROKER FOREX

Monday, May 23, 2011

Kasih Sayang



Dunia merupakan ciptaan yang teragung yang tiada tolok bandingnya dan sungguh cantik pada pandangan mata. Ia dihiasi dengan pelbagai kenikmatan, keindahan dan kebahagiaan; rumah kediaman, taman bunga, makanan yang lazat, anak-anak yang menghiburkan dan lain-lain. Antara seorang dengan seorang yang lain tidak sama kadar dunia yang dimiliki olehnya. Ada yang memiliki rumah besar, pangkat tinggi, memperolehi sanjungan manusia, selalu bertukar ganti pakaian, makan- makanan yang enak. Tapi ada juga yang hanya duduk di pondok buruk, dipandang hina oleh orang dan makan sekadar untuk mengalas perut.

Kasih sayang Allah hanya akan dimiliki oleh hamba-hamba yang berserah pada takdir Allah. Sama ada dia ditakdirkan untuk jadi orang yang senang atau sebaliknya ditakdirkan menjadi seorang yang miskin, dia tetap rela dan tidak merungut apa-apa pun. Dia tahu bahawa sesungguhnya Allah tidak pernah untuk menzalimi hamba-hambaNya. Jika takdir yang ditentukan itu adalah baik, maka peluang untuk menjadi hamba yang bersyukur, yang dapat memanfaatkan kebaikan yang diperolehinya itu bukan untuk dirinya seorang, tapi dapat dirasai sama oleh orang lain.

Jikalau ditakdirkan kaya, dengan kekayaan itu maka dia akan dapat membantu orang susah, anak-anak yatim, janda, fakir miskin serta melakukan lain-lain kebajikan. Sehingga dia menjadi lebih hampir dengan Allah dan mendapat rahmat serta kasih sayangNya.

Sebaliknya orang yang ditakdirkan menerima nasib yang kurang baik, tetapi dia sanggup bersabar walaupun dalam seribu kepahitan, maka Allah akan membalas dengan rahmatNya. Allah akan hiburkan hambanya dengan mengurniakan kekayaan hati. Hati yang kaya adalah hati yang sentiasa berbahagia dengan kebaikan. Hati sentiasa merasa ringan menghadapi kesusahan atau kemiskinan. Nasib malang yang menimpa dirinya sedikitpun tidak menyusahkan hatinya. Sebaliknya segala kejadian dan keadaan yang ada itu makin membuat dia terus bergantung hati bertawakkal dan menyerah diri pada Allah.

Allah itu Maha Bijaksana. Maha Suci Allah yang tidak pernah tersilap dalam menentukan takdir dan perjalanan hidup hambaNya. Allah Maha Adil , Oleh itu apa sahaja nasib yang menimpa dirinya tentulah hasil daripada sifat adilNya.

Seseorang hamba yang tidak redha dengan takdir atau nasib yang menimpa dirinya, seolah-olah dia tidak yakin pada keadilan dan kebijaksanaan Allah. Seolah-olah menganggap Allah tidak tahu kehendak hatiya. Sesungguhnya Allah itu maha mengetahui kerana ilmuNya meliputi segala sesuatu, maka ALLAH memutuskan takdir yang sebaik-baiknya untuk hamba-Nya. Walaupun pada pandangan hamba tersebut, takdir itu tidak baik, tetapi sekiranya berserah diri pada Allah, nescaya akan mendapat keuntungan daripada takdir itu.

Sebaliknya kalau seseorang yang direzekikan dengan takdir yang baik dalam hidupnya, selalunya membuatkan dia terlalu gembira, bangga dan hingga dia lalai, hingga lupa kepada Yang memberi. Maka takdir yang dianggap baik itu sebenarnya sudah tidak menguntungkan dirinya. Dia sudah berada berada jauh daripada Allah atas sebab kelalaiannya.

Janganlah merasa iri hati atau dengki melihat nasib atau takdir yang baik yang ditentukan Allah terhadap orang lain sehingga kita berusaha untuk mendapatkannya. Sesungguhnya apa yang diberikan oleh Allah kepada seorang hambaNya itu pasti tidak sama dan tidak dimiliki oleh hambaNya yang lain, yang tidak tersenarai sebagai penerima takdir itu meskipun dia berusaha bermati-matian untuk mencapai dan mendapatkannya.

Apa yang patut dilakukan oleh setiap hamba ialah redha menerima segala ketentuan atau takdir Allah sama ada yang dianggap baik atau tidak. Kerana pada hakikatnya setiap yang ditakdirkan dan ditentukan oleh Allah itu adalah baik. Cuma yang membezakan baik atau tidak itu ialah hawa nafsu manusia. Perkara-perkara yang sesuai dengan kehendak nafsu dan hatinya adalah dianggap baik. Sebaliknya yang menyusahkan dan nafsunya merasa tidak seronok, dikatakan tidak baik.

Janganlah kita mengukur ikut hawa nafsu kerana ianya hanya mengajak kita menjadi engkar dan memusuhi Allah. Ikutilah penilaian dan ukuran Allah melalui hidayah yang dikurniakan.

Kalau kita dapat menghadapi setiap takdir dengan banyak berserah, berharap dan takut pada kemurkaanNya tentulah setiap takdir itu akan menguntungkan kita. Untungnya kerana ianya boleh menghampirkan diri di sisi Allah s.w.t. Wallahu'alam.

4 komen:

Muslimah Optimis said...

wahhhhhhhhhh..bagus entry ni..teringat dekat ceramah Dr. Maza..lebih kurang ayat di atas ada disebutkan.. sangat syahdu

hYouTube - Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita!

dengarlah kalo belum dengar..syahdu sangat

NAMI said...

sebut pasal Dr Maza, baru saja jumpa dekat Pusat Sejahtera Usm...tak boleh buka la @Muslimah Optimis.nanti cari alternatif lain kalau nak buka k..Insyallah jika ada kesempatan. Sekiranya melihat pada tajuk yang dilontarkan oleh Dr Maza memang sudah terasa penangannya..Oleh itu, berpeganglah pada Qada dan Qadar Allah. Sesungguhnya itulah Jalan Terbaik untuk kita muhasabah diri apabila ujian diturunkan oleh Allah. Setiap dugaan yang diberikan ada hikmah disebaliknya. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

Reiki Malaysia - Tradisi Hikmah Sufi said...

Alhamdulillah... Artikel yg sangat menarik.

Adil, Bijaksana, Kasih dan Sayang Allah kepada kita hanya dapat dinilai oleh manusia yang benar2 beriman sahaja. Nafsu rendah hanya mengeluh.

mama solehah said...

artikel sangat menarik, memberi inspirasi..

http://vitaminderoyale.com

Post a Comment